Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023 – Selepas tiga tahun Interforce Games (IFG) terpaksa ditangguhkan penganjurannya disebabkan pandemik COVID-19, kejohanan sukan tradisi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Singapore Police Force (SPF) itu akhirnya dapat dilaksanakan pada tahun ini dengan penyertaan seramai 258 atlet termasuk pengelola serta delegasi kedua-dua agensi.
Penganjuran edisi kali ini oleh PDRM bertambah manis apabila Pasukan Sang Saka Biru berjaya mendominasi enam daripada tujuh acara sukan yang dipertandingkan, sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan IFG 2023. Enam sukan tersebut ialah acara golf, bola sepak, badminton, tenpin bowling, bola jaring dan dart.
Pertandingan akhir golf yang berlangsung pagi tadi di Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai, Negeri Sembilan telah menyaksikan PDRM berjaya mengutip 373 mata, berbalas 333 oleh SPF.
Seterusnya, pertandingan akhir tenpin bowling dan badminton di Wangsa Bowl serta IOI Sports Centre di IOI City Mall, Putrajaya dengan jumlah terkumpul jatuhan pin bagi sukan bowling ialah sebanyak 11,153 berbanding SPF, 10,477. Manakala, bagi sukan badminton, keputusan rasmi menyebelahi PDRM dengan 5 mata berbalas 2.
Bagi pertandingan akhir dart, bola jaring dan futsal wanita yang diadakan di Dewan Sri Sarjana dan Arena Sukan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, Selangor, Pasukan SPF hanya berjaya menundukkan PDRM dalam acara futsal wanita dengan keputusan akhir 4-3.
Kemuncak kejohanan telah berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang petang tadi menerusi pertandingan akhir bola sepak dengan kemenangan mutlak menjadi milik PDRM, 2 berbalas 0. Sejurus tamat, sesi penyampaian hadiah kepada para pemain telah disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim.
Sementara itu, satu majlis makan telah diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya malam tadi bagi menghargai semangat setiakawan dan kesukanan tinggi yang dipamerkan oleh para atlet, pengelola pasukan serta delegasi sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Berucap di majlis tersebut, Dato’ Sri Azmi yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat merealisasikan Kejohanan IFG 2023.
Jelas beliau, kejohanan sukan yang sebegitu akan dapat mengukuhkan lagi hubungan profesional antara kedua-dua agensi penguatkuasa dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Seusai itu, berlangsung sesi penyerahan piala pusingan kejohanan oleh Commisioner Police of Singapore Police Force, Mr. Hoong Wee Teck kepada Dato’ Sri Azmi selepas PDRM muncul juara keseluruhan bagi Kejohanan IFG 2023.
Sebelum menutup tirai, Dato’ Sri Azmi telah menyerahkan bendera kejohanan kepada Mr. Hoong sebagai tanda SPF bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran IFG akan datang.
Hadir sama, Ketua Polis (KP) Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat, KP Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan, CP Pentadbiran Jabatan Pengurusan, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Sukri Kaman dan Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Muhammad Najib Hamzah.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Koperal Irfan Bujang, Lans Koperal Bryanlie dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.

FOTO : GAMES 2023: PDRM DOMINASI ENAM ACARA SUKAN, MUNCUL JUARA KEJOHANAN KALI INI