Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023 – YDH CP Dato’ Sri Ramli bin Mohamed Yoosuf, Pengarah Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia melalui sidang media yang diadakan hari ini memaklumkan sejumlah 125,169 laporan polis telah diterima berkaitan jenayah komersil sejak 1 Januari hingga 22 Oktober 2023. Dari jumlah tersebut, 33, 629 kertas siasatan telah dibuka bersamaan 27% dari jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima.
Berdasarkan 33,269 kes yang disiasat, jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM1,759,235,140.05. Dari aspek pertuduhan, sejumlah 11,903 kes atau 36% telah berjaya dituduh di mahkamah.
Sepanjang minggu kajian iaitu 16 hingga 22 Oktober 2023, sejumlah 891 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersil. Dari jumlah 891 ini, kes-kes jenayah komersil bersindiket mencatatkan sejumlah 620 kes bersamaan 69.6%.
Melalui sidang media yang sama, YDH CP Dato’ Sri Ramli bin Mohamed Yoosuf memaklumkan terdapat empat kes menarik perhatian melibatkan kerugian antara RM1.17 juta hingga RM7.1 juta telah dilaporkan pada awal bulan Oktober 2023. Tiga daripadanya adalah berkenaan penipuan pelaburan dan satu berkenaan kes penipuan Business Email Compromised. Turut dimaklumkan adalah statistik serbuan dan tangkapan yang dilakukan terhadap pusat panggilan penipuan yang menjadi dalang kepada kes-kes penipuan.
Dalam usaha membanteras kes-kes jenayah komersil, masyarakat diingatkan untuk sentiasa cakna dengan maklumat dan informasi jenayah komersil yang dikongsikan oleh PDRM dari masa ke semasa. Masyarakat juga digesa untuk lebih berwaspada dan sentiasa membuat semakan yang terperinci melalui platform Semakmule CCID sebelum mengambil keputusan untuk membuat sebarang pindahan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.










